Alfred Russel Wallace | |
---|---|
Kelahiran | 8 Januari 1823 Mounmouthshire, United Kingdom |
Meninggal dunia | 7 November 1913 Dorset, United Kingdom |
Warganegara | British |
Pekerjaan | Ahli biologi, biogeografi dan botani |
Terkenal kerana | Penemu bersama pemilihan semula jadi dan kerjanya berkaitan biogeografi |
Alfred Russel Wallace, OM, FRS (8 Januari 1823– 7 November 1913) ialah seorang pengembara dan ahli alamiah, geografi, antropologi dan biologi British. Kemasyhuran utamanya ialah sebagai pengusul teorinya sendiri berkaitan evolusi melalui pemilihan semula jadi yang mendorong Charles Darwin untuk mengemukakan teorinya.
Wallace menjalankan kajian kerja luar yang meluas, mula-mula di lembangan sungai Amazon Amerika Selatan dan kemudiannya Kepulauan Melayu, di mana beliau menemukan dasar kepada Garis Wallace yang membahagikan kepulauan Indonesia kepada dua bahagian jelas, satu di mana terdapat binatang yang hampir serupa dengan binatang di Australia, dan satu di mana faunanya hampir dengan spesis yang terdapat di Asia. Beliau dianggap sebagai pakar taburan geografi spesids binatang dalam abad kesembilan belas dan kadang kala digelar "bapa biogeografi".[1]
Wallace merupakan seorang daripada pemikir utama tentang evolusi pada abad ke-19 dan membuat beberapa sumbangan terhadap pengembangan teori evolusi selain menjadi penemu bersama pemilihan semula jadi. Ini termasuk konsep pewarnaan amaran dalam binatang, dan Kesan Wallace, satu hipotesis bagaimana pemilihan alamiah boleh menyumbang kepada kemunculan spesis dengan menggalakkan pengembangan rintangan terhadap kacukan.
Wallace tertarik kepada idea-idea yang tidak kebiasaan. Beliau menyokong pergerakan Spiritualisme dan kepercayaannya kepada sifat keduaan (Dualisme) punca kebolehan mental tinggi menegangkan hubungan antara dirinya dengan pihak berkuasa sains, terutamanya penyokong awal evolusi. Selain kerja saintifiknya, Wallace juga seorang penindak cergas ataupun aktivis yang menkritk apa yang dilihatnya sebagai ketidakadilan sosial sistem ekonomi kapitalisme Britain dalam abad ke-19.
Minatnya dalam biogeografi memjadikannya seorang daripada ahli sains yang mula-mula mengetengahkan kerisauan tentang kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar. Wallace seorang penulis prolofik yang menulis tentang isu-isu saintifik dan sosial. Penulisannya dalam Kepulauan Melayu tentang pengembaraan dan pemerhatiannya semasa penjelajahannya di Malaysia dan Indonesia menjadi satu daripada jurnal penjelajahan saintifik yang amat digemari dan berpengaruh yang diterbitkan pada kurun ke-19 dan terus diterbitkan oleh penerbitnya sehingga dasawarsa kedua abad ke-20.[2]