Austronesia | |
---|---|
Kepulauan Selatan | |
Taburan geografi: | Asia Tenggara Maritim, Oceania, Madagaskar, Taiwan |
Klasifikasi bahasa: | salah satu dari keluarga bahasa dunia utama; walaupun berpaut dengan keluarga lain telah dicadangkan, tiada dari ini yang diterima mainstrim umum |
Bahasa-proto: | Proto-Austronesia |
Pembahagian: |
|
ISO 639-2 / 5: | map |
Glottolog: | aust1307[1] |
Taburan bahasa-bahasa Austronesia |
Bahasa-bahasa Austronesia (har. kepulauan selatan (dalam bahasa Greek)) ialah satu keluarga bahasa yang tersebar meliputi gugusan kepulauan Asia Tenggara dan Lautan Pasifik. Beberapa anggota keluarga bahasa ini juga dituturkan di tanah besar Asia. Bahasa-bahasa serumpun ini tersebar luas dari Taiwan dan Hawaii di hujung utara hingga ke Aotearoa (New Zealand) di hujung selatan dan dari Madagaskar jauh di barat sampai ke Rapanui (Pulau Paskah/Easter) di hujung timur.
Sepertimana bahasa-bahasa Bantu, Indo-Eropah, Afro-Asia dan Ural, Rumpun bahasa Austronesia merupakan salah satu keluarga bahasa tua yang telah dikenal pasti dengan lengkap. Nama Austronesia berasal daripada kata bahasa Latin auster "angin selatan" dan kata bahasa Yunani nêsos "pulau". Nama ini sememangnya sesuai, kerana sebahagian besar bahasa Austronesia dituturkan di pulau-pulau yang terletak dalam, atau berhampiran dengan, Hemisfera Selatan: hanya beberapa bahasa, seperti bahasa Melayu dan bahasa Cham, dituturkan di tanah besar Asia. Kebanyakan bahasa Austronesia mempunyai bilangan penutur yang kecil. Walau bagaimanapun, bahasa Austronesia utama memiliki jutaan penutur. Sesetengah bahasa Austronesia merupakan bahasa rasmi di beberapa buah negara. Otto Dempwolff, seorang sarjana Jerman, merupakan ahli bahasa pertama yang menyelidik bahasa-bahasa Austronesia dengan mendalam menggunakan kaedah perbandingan bahasa.[2]
Para ahli bahasa tidak sepakat tentang keluarga bahasa manakah yang mempunyai bahasa yang terbanyak. Walau bagaimanapun, rumpun bahasa Austronesia pastinya menduduki antara tangga teratas dengan 1,268 bahasa (menurut Ethnologue), yang bersamaan dengan lebih kurang satu perlima daripada jumlah keseluruhan bahasa yang diketahui di dunia.
Rumpun bahasa Austronesia memiliki beberapa cabangan utama, dan kesemuanya kecuali satu diketemui di Taiwan. Bahasa-bahasa Formosa Taiwan dikategorikan kepada sembilan subkumpulan aras pertama ("first-order") bahasa Austronesia. Kesemua bahasa Austronesia yang dituturkan di luar Taiwan (termasuklah bahasa Yami) tergolong dalam cabang Melayu-Polinesia, yang kadangkala dikenali dengan nama bahasa Extra-Formosa.