Bendahara (Jawi: بنداهارا ) merupakan satu jawatan pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan klasik Melayu sebelum kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19 terutamanya di semenanjung Melayu setaraf wazir (di Brunei) atau mangkubumi (di Sumatera dan Borneo). Jawatan ini berperanan memegang khazanah harta benda yang dipegang kerajaan[1] atau "perbendaharaan";[2] peranan ini boleh dibandingkan dengan jawatan perdana menteri selaku menteri kewangan yang wujud pada zaman moden. Bendahara dilantik oleh Sultan dan merupakan jawatan yang diwarisi dalam keluarga yang sama; malah Bendahara dan Sultan berkongsi jurai keturunan yang sama.
Gelaran ini pada asalnya membawa maksud "penyimpan kekayaan" meminjam dari bahasa Sanskrit भाण्डागार bhāṇḍāgāra[3] terbitan भाण्डा bhāṇḍā bermaksud "barang dagangan" (juga diserap kepada perkataan "benda").[4] Pengistilahan ini turut memunculkan gelaran moden bendahari.[4]