Devon

Devon
Peta Bumi sewaktu akhir tempoh Devon, sekitar 370 Ma.
Kronologi
Etimologi
Keformalan namaFormal
Nama panggilanZaman Ikan
Maklumat kegunaan
Jasad cakerawalaBumi
Kegunaan tempatanGlobal (ICS)
Skala masa yang digunakanSkala Masa ICS
Takrifan
Unit kronologiTempoh
Unit stratigrafiSistem
Keformalan jangka masaFormal
Takrif sempadan bawahDKP grafolit Monograptus uniformis
Sempadan bawah GSSPKlonk, Republik Czech
49°51′18″N 13°47′31″E / 49.8550°N 13.7920°E / 49.8550; 13.7920
Tarikh ratifikasi sempadan bawah GSSP1972[1]
Takrif sempadan atasDKP konodonta Siphonodella sulcata (ditemui mempunyai masalah biostratigrafi pada tahun 2006).[2]
Sempadan atas GSSPLa Serre, Montagne Noire, Perancis
43°33′20″N 3°21′26″E / 43.5555°N 3.3573°E / 43.5555; 3.3573
Tarikh ratifikasi sempadan atas GSSP1990[3]
Data atmosfera dan iklim
Nilai aras laut melebihi zaman kiniAgak stabil sekitar 189 m, beransur-ansur turun ke 120 m sepanjang tempoh tersebut[4]

 

Devon ialah nama bagi satu tempoh dan sistem geologi pada era Paleozoik di bawah eon Fanerozoik, merangkumi 60.3 juta tahun bermula dari penghujung tempoh Silur pada 419.2 juta tahun dahulu (jtd), sehingga ke permulaan tempoh Karbon yang seterusnya pada 358.9 jtd.[5] Ia dinamakan sempena Devon, England Barat Daya, yang merupakan tempat paling awal munculnya batu-batuan dari tempoh ini dan kemudian dikaji.

Percambahan evolusi pertama hidupan di daratan berlaku semasa tempoh Devon, apabila tumbuhan daratan berspora bebas (pteridofit) mula merebak di tanah kering, membentuk hutan arang batu yang meliputi benua secara meluas. Menjelang pertengahan tempoh Devon, beberapa kumpulan tumbuhan pembuluh telah mengevolusi daun benar dan akar benarnya, dan pada penghujung tempoh tersebut tumbuhan berbiji pertama (pteridospermatofit) muncul. Proses evolusi dan pengkolonialan yang pesat, yang telah bermula semasa zaman Silur, dikenali sebagai Revolusi Terestrial Silur-Devon. Haiwan darat yang terawal, kebanyakannya artropoda seperti miriapoda, araknida dan heksapoda, juga mantap kemandiriannya pada awal tempoh ini, selepas memulakan pengkolonialan daratan sekurang-kurangnya bermula zaman Ordovisi.

Ikan, terutamanya ikan rahang, mencapai kepelbagaian yang besar pada masa ini, menyebabkan tempoh Devon sering digelar sebagai Zaman Ikan. Plakoderma berperisai mula mendominasi hampir setiap persekitaran akuatik yang diketahui. Di kawasan lautan, jenis-jenis ikan rawan seperti jerung primitif menjadi lebih banyak berbanding pada tempoh Silur dan tempoh Ordovisi Akhir. Tetrapodomorfa, yang termasuk nenek moyang semua vertebrata berkaki empat (iaitu tetrapoda), mula bercambar keluar daripada ikan bersirip cuping air tawar apabila sirip dada dan pelvisnya yang lebih tegap dan berotot berkembang secara beransur-ansur menjadi anggota badan depan dan belakang, walaupun mereka belum mantap sepenuhnya untuk hidup di darat sehingga tempoh Karbon Akhir.[6]

Amonit pertama, yang merupakan salah satu subkelas moluska sefalopod, muncul. Trilobit, brakiopoda dan terumbu karang yang besar masih biasa wujud pada zaman Devon. Kepupusan Devon Akhir yang bermula kira-kira 375 jtd[7] menjejaskan kehidupan marin dengan teruk, sehingga membunuh kebanyakan sistem terumbu, kebanyakan ikan tanpa rahang, separuh daripada semua plakoderma, dan hampir semua trilobit kecuali beberapa spesies dari order Proetida. Kepupusan paling akhir yang dikenali sebagai krisis Hangenberg berlaku pada sekitar 359 jtd, seterusnya memberi kesan kepada ekosistem dan melengkapkan kepupusan semua terumbu bunga karang kalsit dan plakoderma.

Palaeogeografi Devon didominasi oleh benua besar Gondwana di selatan, benua kecil Siberia di utara, dan benua Laurusia bersaiz sederhana di timur. Peristiwa tektonik utama termasuk penutupan Lautan Reik, pemisahan plat China Selatan dari Gondwana, dan pengembangan Lautan Paleo-Tethys. Tempoh Devon ini mengalami beberapa peristiwa major pembinaan gunung sewaktu Laurusia dan Gondwana menghampiri; dan hal ini termasuk Orogeni Akadia di Amerika Utara dan permulaan Orogeni Variska di Eropah. Perlanggaran awal ini mendahului pembentukan superbenua tunggal Pangea pada era Paleozoik Akhir.

  1. ^ Chlupáč, Ivo; Hladil, Jindrich (January 2000). "The global stratotype section and point of the Silurian-Devonian boundary". CFS Courier Forschungsinstitut Senckenberg: 1–8. Dicapai pada 7 December 2020.
  2. ^ Kaiser, Sandra (1 April 2009). "The Devonian/Carboniferous boundary stratotype section (La Serre, France) revisited". Newsletters on Stratigraphy. 43 (2): 195–205. doi:10.1127/0078-0421/2009/0043-0195. Dicapai pada 7 December 2020.
  3. ^ Paproth, Eva; Feist, Raimund; Flajs, Gerd (December 1991). "Decision on the Devonian-Carboniferous boundary stratotype" (PDF). Episodes. 14 (4): 331–336. doi:10.18814/epiiugs/1991/v14i4/004. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2020-06-09.
  4. ^ Haq, B. U.; Schutter, SR (2008). "A Chronology of Paleozoic Sea-Level Changes". Science. 322 (5898): 64–68. Bibcode:2008Sci...322...64H. doi:10.1126/science.1161648. PMID 18832639. S2CID 206514545.
  5. ^ Gradstein, Felix M.; Ogg, James G.; Smith, Alan G. (2004). A Geologic Time Scale 2004. Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 978-0521786737.
  6. ^ Amos, Jonathan. "Fossil tracks record 'oldest land-walkers'". BBC News. Dicapai pada 24 December 2016.
  7. ^ Newitz, Annalee (2013-06-13). "How do you have a mass extinction without an increase in extinctions?". The Atlantic.

Developed by StudentB