Kemaharajaan (Empayar) Jepun (Kyūjitai: 大日本帝國 ; Shinjitai: 大日本帝国 ; disebut Dai Nippon Teikoku; secara rasminya Kemaharajaan Jepun Raya) merupakan satu kerajaan di bawah Perlembagaan Empayar Jepun dan Jepun dan kawasan-kawasan yang di bawah perintahnya sejak zaman Pemulihan Meiji sehingga kekalahan dalam Perang Dunia II. Maharaja-maharaja yang bertakhta sepanjang zaman ini, iaitu zaman-zaman Meiji, Taishō dan Shōwa, kini dikenali dengan nama posthumus (yang diberi selepas kemangkatan) yang bersamaan dengan nama zaman masing-masing: Maharaja Meiji (Mutsuhito), Maharaja Taishō (Yoshihito) dan Maharaja Shōwa (Hirohito).
Peristiwa-peristiwa terpenting yang berlaku pada zaman ini termasuk pemulihan kuasa Maharaja (大政奉還 , Tai-sei Hou-kan) pada 9 November 1867, Pemansuhan sistem han (廃藩置県 , Hai-han Chi-ken) pada 14 Julai 1871, pengindustrian dan penenteraan pesat yang dialami negara di bawah cogan kata Fukoku Kyohei (富国強兵 , "Perkayakan Negara, Kuatkan Tentera"), yang membawa kepada timbulnya sebagai kuasa dunia yang seterusnya menyertai perikatan Paksi dan menawan sebahagian besar rantau Asia-Pasifik.
Empayar Jepun menyerah kalah kepada kuasa Berikat pada 2 September 1945, setelah pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki yang menyusuli peristiwa-peristiwa seperti penetangan di Perang Pasifik dan Perang China-Jepun Kedua terhadap negara-negara Berikat pada Perang Dunia II.
Penyerahan kalah tersebut disusuli oleh satu tempoh pendudukan oleh kuasa-kuasa Berikat, kemudiannya penyerahan dan pemansuhan Empayar, dan satu perlembagaan baru digubal dengan penglibatan Amerika Syarikat. Pendudukan Amerika Syarikat dan pembinaan semula negara berterusan sehingga 1950-an lalu membentuk Jepun moden zaman kini.