Empayar Uthmaniyah (Bahasa Turki Uthmaniyah: دولتِ عليهٔ عثمانيه ; Turki: Osmanlı İmparatorluğu ) adalah sebuah negara[note 1] yang menguasai sebahagian besar Eropah Tenggara, Asia Barat, dan Afrika Utara antara abad ke-14 dan awal abad ke-20 selama lebih kurang 600 tahun. Ia didirikan pada akhir abad ke-13 di Anatolia barat laut di bandar Söğüt (Wilayah Bilecik moden) oleh pemimpin suku Osmani,[7][8] Uthman I.[9] Keluarga Bani Osmani ini ialah sebahagian kecil keseluruhan suku-suku bangsa Turki yang dikenali sebagai bangsa Turki yang masuk ke Asia Kecil semenjak abad kesebelas yang lalu. Bangsa ini ialah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, terutama setelah mereka bergerak ke barat laut Anatolia di abad ke-13.[10] Pengikut-pengikutnya terkenal sebagai ghazi atau lebih mudah dikenali sebagai parajurit yang berjuang memerangi Kristian kerana jihad untuk menegakkan Islam, dan mengecapi kejayaan. Di sinilah wujudnya empayar atau kerajaan Uthmaniyah, yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Pemerintah Uthmaniyah melihat diri mereka sebagai "pemerintah sejagat" dan waris kepada Empayar Rom dan Islam, maka terjadilah "penyatuan kebudayaan".[11]
Pada tahun 1357, mereka menyeberangi Dardanelles menuju ke semenanjung Gallipoli dan sebelum akhir abad ke-14 mereka telah menduduki beberapa kawasan dibawah kerajaan Byzantine, termasuk Yunani dan Bulgaria. Kustantiniyah (kemudian ditukar nama kepada Istanbul) setelah jatuh ke tangan kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1453. Pada tahun 1526 sebagian besar wilayah Hungary telahpun berada di bawah kekuasaan Uthmaniyah. Kerajaan Uthmaniyah mempunyai angkatan laut yang handal di Laut Mediterranean dan melaksanakan tugasnya dalam peperangan dengan Sepanyol dan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Algeria segera mereka kuasai dan akhirnya menambahkan Tunisia sebagai wilayah kerajaan Uthmaniyah. Uthmaniyah juga meluaskan kuasanya dengan menuju ke bahagian tenggara, menduduki Mesopotamia dan bahagian-bahagian wilayah Arab yang lain. Bagi bangsa Eropah Barat, kemajuan Uthmaniyah merupakan keganasan Islam. Dengan ini mereka menegaskan bahawa Islam ialah agama kekejaman dan agama pedang yang menakutkan. Maka tidak hairanlah pada tahun 1542, Dewan Kota Praja Basel di Switzerland membekukan penerbitan terjemahan Al-Quran yang diterjemahkan oleh Robert dari Ketton. Dewan Kota Praja ini membantah dengan mengatakan "dongeng dan bida'ah yang dibuat-buat" dalam Al-Quran itu akan mengganggu penganut Kristian Pada akhir abad ke-17, kelemahan kerajaan Uthmaniyah mulai terserlah selepas satu setengah abad berkuasa. Pengepungan ke atas Vienna di tahun 1683 turut menemui kegagalan dan kerajaan Uthmaniyah kini pula menghadapi persekutuan dari Austria, Poland, Venice dan Paus, dan Rusia.
Semenjak tahun 1699 mereka telah banyak menemui kekalahan dan di dalam perjanjian damai Karlovitz, Uthmaniyah dipaksa bersetuju untuk menyerahkan wilayah-wilayahnya kepada Austria, Venice dan Poland. Walaupun demikian, mereka tetap mempertahankan hak mereka di bahagian tenggara Eropah, termasuk pantai barat dan utara Laut Hitam. Namun pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniyah kembali kehilangan sebahagian besar dari wilayah taklukkannya yang dimulai dengan kemerdekaan Yunani pada tahun 1829 dan pendudukan Perancis ke atas Algeria pada tahun 1830. Kerajaan Uthmaniyah digelar "Orang sakit Eropah" dan hanya persaingan mereka inilah yang mencegah terjadinya perpecahan-perpecahan yang dahulunya pernah terjadi. Setelah kekalahannya dalam Perang Dunia I pada tahun 1912-1919, kesemua wilayah ini masih tetap berada di bawah Kerajaan Uthmaniyah, dengan wilayah Eropahnya ialah kawasan di sekitar Istanbul meluas sampai ke sebelah utara Edirne (Adrianople) dan ke barat sampai ke Gallipoli. Bangsa Turki di bawah kekuasaan Mustafa Kemal Atatürk telah menghapuskan nama kerajaan Uthmaniyah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki. Wilayah-wilayah jajahan di Asia dan Afrika dahulu telah hilang kecuali Anatolia yang masih berada di wilayah Republik Turki ini.
Ralat petik: Tag <ref>
wujud untuk kumpulan bernama "note", tetapi tiada tag <references group="note"/>
yang berpadanan disertakan