Filem (Jawi: فيلم ) atau wagam atau wayang gambar (Jawi: وايڠ ݢمبر) adalah bentuk seni tampak mempersembahkan rupa atau "wayang" menyampaikan sesebuah cerita yang membangkitkan suasana, pandangan dan perasaan terdiri daripada rentetan atau turutan gambar yang bergerak diiringi bunyi termasuk muzik.[1] Penghasilan atau "pembikinan" cerita menggunakan kaedah ini serta industri melibatkan penggiatan sedemikian secara umumnya disebut sebagai perfileman.
Cerita yang disampaikan dalam medium filem mencerminkan budaya masyarakat yang membentuk kerana sifatnya yang merakam pergerakan dan persekitaran latar yang dirakam langsung pada saat itu;[2] ia dipergunakan sebagai wahana penting mendidik atau menyemai pemikiran dalam masyarakat umum yang mudah menangkap berdasarkan apa yang dilihat di layar.