Hablur

Hablur kuarza kecubung.
Dalam pencerapan mikroskop, seketul hablur tunggal mengandungi atom-atom dalam susunan yang hampir berkala sama sekali; polihablur terdiri daripada sejumlah banyak hablur mikroskopik (iaitu "kristalit" atau "butir"); dan sejenis pepejal amorf (seperti kaca) yang langsung tiada susunan berkala walaupun dalam pencerapan mikroskop.

Hablur (Jawi: هبلور) atau kristal (Jawi: کريستل) merupakan bahan pepejal yang terdiri daripada gugusan atom, molekul, atau ion yang tersusun dalam ragam tertib yang menjangkau ketiga-tiga dimensi ruang. Selain struktur mikroskopik (tidak nyata pada mata kasar), hablur besar lazimnya boleh dikenal pasti dengan bentuk geometri makroskopik (nyata pada mata kasar) yang terdiri daripada muka-muka leper dengan orientasi yang tertentu.

Kajian sains terhadap hablur dan pembentukan hablur dipanggil kristalografi (ilmu kaji hablur). Proses pembentukan hablur melalui mekanisme pertumbuhan hablur pula bergelar penghabluran atau pemejalan. Contoh hablur yang umum adalah emping salji, permata, dan garam halus. Akan tetapi, kebanyakan jenis pepejal tak organik yang am adalah polihablur. Hablur lazimnya disebatikan secara simetri untuk membentuk hablur kembar.


Developed by StudentB