Historiografi ialah kajian terhadap sejarah dan perkaedahannya. Istilah tersebut juga merujuk pustaka sejarah tentang sesuatu topik yang khusus, dengan para sarjana sering membincangkan historiografi mengikut topik — misalnya "historiografi Katolikisme", "historiografi Islam awal", atau "historiografi China" — serta juga mengikut pendekatan dan genre yang khusus seperti sejarah politik dan sejarah sosial. Bermula dari abad ke-19, dengan kebangkitan sejarah akademik, suatu pustaka historiografi telah berkembang.
Minat penyelidikan ahli sejarah telah berubah-ubah dengan berlalunya masa dan pada dekad-dekad kebelakangan ini, terdapat peralihan daripada sejarah diplomatik, sejarah ekonomi, dan sejarah politik yang tradisional kepada pendekatan yang lebih baharu, khususnya tentang kajian sosial dan budaya. Dari 1975 hingga 1995, perkadaran profesor sejarah di universiti Amerika yang mengaitkan diri dengan sejarah sosial naik daripada 31% sehingga 41%, manakala perkadaran ahli sejarah politik jatuh daripada 40% hingga 30%.[1] Bagi pusat pengajian sejarah di universiti British pada 2007, 1,644 (29%) daripada 5,723 anggota fakulti mengaitkan diri dengan sejarah sosial, diikuti oleh sejarah politik dengan 1,425 (25%) anggota fakulti..[2]