Jejari atom

Gambar menunjukkan atom helium, bahagian kelabu merujuk kepada ketumpatan kebarangkalian elektron.
Anggaran bentuk molekul etanol, CH3CH2OH. Setiap model sfera merupakan atom dengan jejari van der Waals.

Jejari atom sesuatu unsur kimia merupakan ukuran saiz atomnya, yang seringkali ialah purata jarak dari nukleus ke bahagian sempadan awan elektron. Terdapat beberapa definisi yang turut merujuk kepada jejari atom kerana definisi sempadan tersebut tidak mempunyai entiti fizikal yang tepat. Tiga jenis definisi yang dikaitkan dengan jejari atom ialah jejari van der Waals, jejari kovalen dan jejari ion.

Definisi tersebut turut melibatkan atom terasing, atom dalam jirim termeluwap, ikatan kovalen dalam molekul dalam bentuk terion dan teruja. Ukuran jejari atom diperoleh melalui eksperimen atau dikira berdasarkan model teori. Berdasarkan definisi ini, ukuran jejari atomm bergantung kepada sifat dan konteks atom tersebut.[1]

Elektron tidak mempunyai orbit atau lingkungan yang tetap. Posisi elektron dijelaskan berdasarkan taburan kebarangkalian elektron yang semakin berkurangkan apabila berjauhan dari nukleus, tanpa sebarang potongan. Lebih-lebih lagi, dalam jirim dan molekul termeluwap, awan elektron kebiasaannya bertindih dan sesetengah elektron mungkin berada di kawasan yang mempunyai dua atau lebih atom.

Berdasarkan kebanyakkan definisi, panjang jejari atom terasing yang neutral adalah di antara 30 dan 300pm atau antara 0.4 dan 4 angstrom. Oleh itu, jejari sesuatu atom ialah lebih daripada 10,000 kali jejari nukleus (1–10fm),[2] dan kurang daripada 1/1000 panjang gelombang cahaya boleh nampak (400–700nm).

Panjang jejari atom dapat diramalkan dan dijelaskan dengan menggunakan jadual berkala. Sebagai contoh, panjang jejari kebiasaanya berkurangan mengikut barisan jadual berkala (dari logam alkali ke gas adi), manakala panjang jejari meningkat mengikut susunan tegak kumpulan. Radius meningkat secara mendadak antara gas adi pada penghujung kala dan logam alkaki yang terletak pada permulaan kala berikutannya. Sifat ini dapat dijelaskan berdasarkan teori petala elektron sesuatu atom. Jejari atom berkurangan sepanjang jadual berkala kerana apabila nombor atom berkurang, bilangan proton meningkat sepanjang kala tetapi lebihan elektron hanya bertambah pada petala kuantum yang sama. Oleh itu, cas nuklear berkesan terhadap elektron yang paling luar meningkat dan menariknya lebih dekat. Dengan itu, awan elektron menyusut dan menyebabkan jejari atom berkurang.

  1. ^ Cotton, F. A.; Wilkinson, G. (1988). Advanced Inorganic Chemistry (ed. 5th). John Wiley & Sons. m/s. 1385. ISBN 978-0-471-84997-1.
  2. ^ Basdevant, J.-L.; Rich, J.; Spiro, M. (2005). Fundamentals in Nuclear Physics. Springer. m/s. 13, fig 1.1. ISBN 978-0-387-01672-6.

Developed by StudentB