Lava (Jawi: لاۏا ) atau lahar (Jawi: لاهر ) ialah cairan larutan magma pijar yang mengalir keluar dari perut bumi melalui kawah gunung berapi atau melalui celah rekahan bumi yang kemudian membeku menjadi batuan pelbagai bentuk. Semasa keluar dari lohong gunung berapi, lava merupakan cecair dengan suhu antara kira-kira 800 hingga 1,200 °C (1,470 hingga 2,190 °F).[1] Walaupun lava agak likat, dengan kelikatan kira-kira 100,000 kali lebih tinggi dari air, ia boleh mengalir agak jauh sebelum sejuk dan membeku, disebabkan sifat tiksotropi dan penipisan ricihnya.[2][3]
Sekiranya lava tersebut agak cair, lava akan meleleh jauh dari sumbernya membentuk aliran seperti sungai melalui lembah dan membeku menjadi batuan seperti lava ropi atau lava blok. Sekiranya lava agak pekat, lava tidak akan mengalir jauh dari sumbernya dan membentuk kubah lava serta pada bahagian pinggirnya membeku membentuk blok-blok lava tetapi suhunya masih tinggi. Apabila kedudukannya tidak stabil, asap panas terbentuk dari lava.