Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (lahir 26 Oktober 1953) merupakan seorang ahli politik Malaysia dari Parlimen Kota Marudu yang kini menyandang jawatan portfolio baru sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sejak 10 Mac 2020.[2] Beliau adalah Presiden Parti Bersatu Sabah yang bersekutu bersama parti lain di dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan juga sebagai komponen gabungan parti Perikatan Nasional (PN) di peringkat Kerajaan Persekutuan. Pada 12 September 2020, Parti Bersatu Sabah (PBS) juga telah bersekutu dengan Gabungan baru yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin di Negeri Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Dahulunya, beliau merupakan bekas Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk kabinet 2008. Selepas itu, beliau pernah menyandang jawatan menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia yang dilantik untuk kabinet 2013 dibawah kepimpinan Yang Berhormat Dato' Sri Mohammad Najib bin Abdul Razak.[3] Sebelum ini juga, beliau merupakan bekas ahli Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Perpaduan dan Integrasi Nasional.
Dr. Maximus juga merupakan salah seorang ahli yang dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Sabah (KDCA).[4] Sebagai Timbalan Presiden KDCA, beliau juga diamanahkan untuk mengetuai penganjuran Tadau Kaamatan peringkat negeri Sabah yang diadakan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun di KDCA Hongkod Koisaan (Pusat Budaya), Penampang dan telah menganjurkan banyak aktiviti berkaitan kemasyarakatan.[4]