Melbourne (bahasa Boonwurrung/bahasa Woiwurrung: Narrm atau Naarm)[1][2][3][4][5]) ialah ibu negeri dan bandar raya terbesar di wilayah Victoria, dan bandar raya kedua terbesar Australia (selepas Sydney), dengan penduduk seramai 3,600,650 di kawasan metropolitan Melbourne (Jun 2004) dan 61,670 di City of Melbourne (yang merangkumi kawasan pusat bandar raya sahaja). Motto bandar raya ini ialah "Vires acquirit eundo" yang bermaksud "kami semakin kuat sewaktu mara kehadapan". Melbourne pernah menjadi ibukota Australia antara 1901 dan 1927.
Melbourne telah dua kali diletakkan di tempat pertama dalam satu kajian oleh The Economist tentang Bandar Raya Paling Sesuai Didiami di Dunia atas dasar sifat-sifat kebudayaan, iklim, kos sara hidup, dan keadaan sosial; sekali pada 2002 [1], dan sekali lagi dalam tahun 2004. Utne Reader dari Amerika Syarikat pernah membuat pernyataan "Melbourne menambah satu tradisi yang lama yang menjadi kebanggaan sivik, masyarakat pendatang baru dari seluruh dunia, dan makanan terbaik di Australia, dan anda dapat menjumpai satu resipi di mana ramai yang mendakwa Melbourne adalah bandar raya paling hip dalam Hemisfera Selatan" (Nov/Dis 2001).
Melbourne adalah tuan rumah untuk sukan-sukan terkemuka Australia, seperti: Karnival Larian Musim Bunga Melbourne (termasuk Piala Melbourne), Perlumbaan Formula One Grand Prix Australia, Tenis Terbuka Australia dan pusingan akhir AFL. Melbourne julung-julung kalinya menghoskan Sukan Olimpik di hemisfera selatan dalam 1956, dan kemudiannya Sukan Komanwel pada tahun 2006.