Pemburuan (Jawi: ڤمبوروان ) ialah amalan mengejar haiwan liar untuk tujuan mendapat makanan, bahan dagangan atau sekadar berekriasi. Pemburuan (pembunuhan, penjeratan atau penangkapan) haiwan liar yang melanggar undang-undang perlindungan haiwan dipanggil pencerobohan.
Pemburuan juga melibatkan penghapusan haiwan perosak untuk tujuan membasmi penyakit yang disebabkan oleh bilangan haiwan berkenaan yang terlalu banyak. Penyokong kegiatan memburu berhujah bahawa pemburuan boleh menjadi komponen yang perlu[1] dalam pengurusan hidupan liar moden, misalnya untuk membantu mengimbangi bilangan haiwan sihat dalam lingkungan keupayaan muatan ekologi sesebuah persekitaran apabila tiadanya sekat dan imbangan semulajadi seperti pemangsa.[2] Bagaimanapun, sebuah kajian yang dijalankan oleh Pusat Dinamik Penyakit Berjangkit Universiti Negeri Pennsylvania mendapati bahawa pengurangan bilangan haiwan buruan di kawasan kecil boleh meningkatkan ketumpatan bilangan sengkenit, maka meningkatkan lagi kes jangkitan penyakit bawaan sengkenit dalam tikus yang membawa kepada perebakan penyakit ensefalitis bawaan sengkenit.[3]
Penangkapan ikan untuk tujuan makanan atau rekreasi, pemerangkapan haiwan yang menceroboh atau mengejara haiwan tanpa niat untuk membunuh, seperti mengambil foto haiwan liar, tidak dikira sebagai memburu. Amalan "memburu" tumbuh-tumbuhan sewajarnya dipanggil mencari atau memungut.
Aspek-aspek kemahiran menjejaki lalu memperoleh sasaran yang sukar ditangkap ketika mengejar haiwan buruan menyebabkan istilah "buru" menjadi metafora (seperti "memburu harga murah").