Pentaksiran Tingkatan Tiga, atau nama singkatannya PT3, merupakan sebuah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid pada peringkat menengah rendah di Malaysia.[1] PT3 ialah sebuah penilaian yang digunakan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah yang telah dijalankan sejak tahun 1993. Pentaksiran ini mencakupi skop sukatan pelajaran dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran berkenaan. Namun, Pentaksiran Tingkatan Tiga diumumkan dalam keadaan yang agak tergesa, iaitu dalam tempoh beberapa bulan sebelum pentaksiran itu dijalankan buat pertama kalinya pada tahun 2014 bermula bulan Julai sehingga bulan Oktober pada tahun yang sama. Pada tahun 2017, bermulanya silibus baru bagi kumpulan murid 2004 di mana terdapat beberapa sukatan Tingkatan 3, 4 dan 5 yang telah diawalkan dan menjadikan silibus semakin sukar.
Terdapat empat ujian yang hendak dilakukan oleh calon-calon iaitu kerja khusus untuk mata pelajaran Geografi, Sejarah, Reka Bentuk Teknologi dan Asas Sains Komputer, ujian lisan bertutur dan ujian mendengar bagi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, serta ujian bertulis untuk mata pelajaran selanjutnya.
Pada tahun 2022 PT3 dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat menengah tinggi ke sekolah khusus, keputusan PBS akan diambil kira beserta peperiksaan khusus yang disediakan.