Pembangun | Sony Computer Entertainment |
---|---|
Pengilang | Sony, Foxconn, ASUSTeK[1] |
Keluarga produk | PlayStation |
Jenis | Konsol permainan video |
Generasi | Generasi ketujuh |
Ketersediaan runcit |
|
Ditamatkan | |
Media | Cakera Blu-Ray, DVD, Cakera padat, Cakera Permainan PS2 |
CPU | Cell Broadband Engine 3.2 GHz dengan 1 PPE & 7 SPEs |
Muatan storan | Cakera keras tetap SATA 2.5 inci (20 GB, 40 GB, 60 GB, 80 GB, 120 GB, 160 GB, 250 GB, 320 GB atau 500 GB) |
Ingatan | 256 MB (memori sistem) dan 256 MB (memori video) |
Perkhidmatan dalam talian | PlayStation Network |
Permainan terlaris | Grand Theft Auto V, 34 juta |
Pendahulu | PlayStation 2 |
Pengganti | PlayStation 4 |
Laman sesawang | http://www.playstation.com/ps3/ |
PlayStation 3 (プレイステーション 3, , Pureisutēshon Surī) (singkatan: PS3) ialah sebuah konsol permainan video yang dibangunkan dan dipasarkan oleh Sony Interactive Entertainment. Konsol ini merupakan pengganti kepada konsol PlayStation 2, mula diumumkan secara rasmi menerusi acara E3 2005 dan telah dilancarkan pada 11 Januari 2006 di Jepun[2], 17 Januari 2006 di kawasan Amerika Utara[3] dan pada 23 Januari 2006 di Eropah[4] dan Australia. Konsol PS3 merupakan salah satu daripada konsol permainan video generasi ke-7, di samping konsol Xbox 360 yang dibangunkan oleh Microsoft dan konsol Nintendo Wii yang dibangunkan oleh Nintendo.
Konsol PS3 merupakan konsol pertama yang menggunakan pemain cakera optik terbina Blu-ray sebagai media storan[5]. Ianya juga merupakan konsol PlayStation pertama yang mengintegrasikan perkhidmatan permainan sosial, termasuklah PlayStation Network[6] serta konsol pertama yang boleh dikawal menggunakan konsol mudah alih, melalui sambungan kawalan jauh pada PlayStation Portable dan PlayStation Vita[7]. Pada bulan September 2009, model Slim bagi konsol PS3 ini telah dikeluarkan dan model ini tidak lagi menyokong keupayaan untuk mengendalikan permainan video yang dikeluarkan untuk konsol PlayStation 2[8]. Model ini lebih ringan dan nipis berbanding model asal serta menggunakan logo dan pemasaran yang telah direka bentuk semula, selain memaparkan animasi but yang sedikit berbeza[8]. Variasi Super Slim kemudian telah dikeluarkan lewat tahun 2012, dengan reka bentuk yang dikemaskini.
Di waktu awal pelancaran, rata-rata memberikan reaksi pelbagai terhadap konsol PS3 ini, kerana harga jualan yang tinggi, penggunaan seni bina pemproses yang kompleks dan kurang permainan video yang berkualiti namun pujian diberikan kepada penggunaan teknologi Blu-ray serta "potensi yang belum diterokai". Pasaran konsol PlayStation 3 ini pada mulanya tidak begitu memberangsangkan[9] namun begitu ianya mula mendapat sambutan, terutamanya setelah pengenalan kepada model Slim dan telah terjual sebanyak 87.4 juta unit, lebih banyak berbanding Xbox 360, menjadikan konsol PS3 ini konsol kelapan paling laris dalam sejarah konsol permainan video. Pengganti konsol ini, PlayStation 4 dikeluarkan pada bulan November 2013. Pada 29 September 2015, Sony mengesahkan pasaran PlayStation 3 akan ditamatkan di New Zealand, namun konsol ini masih lagi dikeluarkan untuk pasaran lain[10]. Pada bulan Mac 2016, tiada lagi pengeluaran unit baru bagi pasaran Eropah dan Australia serta di kawasan Amerika Utara pada bulan Oktober 2016[11][12]. Menjelang tahun 2017, Jepun merupakan kawasan terakhir di mana unit baru konsol PS3 masih lagi dikeluarkan sehinggalah 29 Mei 2017, apabila Sony mengesahkan bahawa pasaran PlayStation 3 ditamatkan di sana[11][12][13][14].