Rokok

Dua batang rokok.

Rokok merupakan silinder kertas berukuran panjang antara 70 hingga 120 mm (variasi bergantung kepada negara) dengan garis pusat sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dicincang. Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara supaya asapnya dapat disedut melalui mulut pada hujung yang lain.

Terdapat dua jenis rokok, iaitu rokok yang bertapis dan tidak bertapis. Rokok yang bertapis dibuat daripada bahan busa serabut sintetik yang berfungsi untuk menyaring nikotin.

Rokok biasanya dijual dalam bungkusan berbentuk kotak atau kemasan kertas yang dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam kantung. Kebelakangan ini, bungkusan-bungkusan tersebut juga umumnya disertai dengan pesanan kesihatan yang memperingatkan perokok akan bahaya kesihatan akibat merokok, misalnya kanser paru-paru atau serangan jantung.

Manusia terawal di dunia yang merokok ialah suku bangsa Asli di Amerika. Mereka merokok untuk memuja dewa atau roh. Pada abad 16, ketika bangsa Eropah menemukan benua Amerika, sebahagian para penjelajah Eropah terikut untuk menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah. Kemudian, kebiasaan merokok mulai muncul di kalangan bangsawan Eropah. Berlainan dengan bangsa Asli Amerika yang merokok untuk keperluan pemujaan, orang Eropah merokok hanya untuk kesenangan semata-mata. Pada abad ke-17 para pedagang Sepanyol membawa masuk rokok ke Turki dan mulai saat itu, ia terus menular ke negara-negara Islam.


Developed by StudentB