Sistem berparlimen merupakan sejenis sistem kerajaan yang mana para menteri cabang eksekutif dipilih dari cabang perundangan dan bertanggungjawab kepada badan perundangan, sehingga terjalinnya cabang-cabang eksekutif dan perundangan. Dalam sistem sebegini, ketua pemerintahan memegang peranan ketua eksekutif dan ketua perundangan de facto.
Sistem berparlimen dicirikan dengan tiadanya pengasingan kuasa yang ketara antara cabang eksekutif dan perundangan, maka mengamalkan sistem demokrasi yang berbeza berbanding dengan sistem berpresiden. Sistem berparlimen biasanya jelas membezakan ketua pemerintahan (yang lazim bergelar perdana menteri) dan ketua negara yang bergelar presiden (yang diundi oleh rakyat atau dilantik oleh parlimen) ataupun raja turun-temurun (kerajaan berperlembagaan).