Kejadian | |
---|---|
Tarikh | 6 Jun 1976 |
Ringkasan | Dipertikaikan |
Tapak kejadian | Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia |
Jenis pesawat | GAF Nomad |
Pengendali | Sabah Air |
Kod pendaftaran | 9M-ATZ |
Asal penerbangan | Lapangan Terbang Labuan, Labuan |
Destinasi | Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Malaysia |
Penumpang | Tidak diketahui |
Anak kapal | Tidak diketahui |
Kematian | 11 |
Kecederaan | 0 |
Terselamat | Tiada |
Kemalangan Double Six, juga dikenali sebagai Tragedi Double Six merupakan nahas kapal terbang yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Malaysia. Kapal terbang, yang dikendalikan oleh Sabah Air, yang datang dari Labuan telah terhempas di daerah Sembulan ketika hendak menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Nahas itu membunuh semua orang di atas kapal penerbangan, termasuk Tun Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah pada masa itu. Penumpang lain pada penerbangan tersebut ialah Menteri Datuk Salleh Sulong, Datuk Peter Mojuntin, Chong Thien Vun, dan penolong menteri Darius Binion. Turut terkorban adalah Setiausaha Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah Dr Syed Hussein Wafa, Isak Atan (Setiausaha Sulit kepada Tengku Razaleigh Hamzah), Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Tun Fuad Stephens), Captain Gandhi Nathan (juruterbang pesawat) dan anak sulung Tun Fuad Johari Stephens.
Punca di sebalik kemalangan itu masih tidak diketahui. Sejurus selepas kemalangan, terdapat dakwaan perbuatan khianat kerana keadaan politik yang tidak menentu pada masa itu. Kerajaan Australia menghantar empat pasukan penyiasat bagi membantu mencari punca kemalangan. Terdapat juga spekulasi yang menganggap kegagalan teknikal dan lebihan muatan merupakan faktor utama yang menyebabkan kemalangan. Namun, punca sebenar bagi kemalangan itu masih belum diketahui sehingga sekarang dan laporan asal mengenai kejadian itu masih diklasifikasikan.[1]
Pada sebelah petang berikutan kemalangan itu, Timbalan Ketua Menteri Harris Salleh telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.
Pesawat model Nomad tersebut merupakan pesawat keluaran Australia.