Upanishad

Teks Hindu
Śruti

Smriti

Istilah Upanishad bermaksud "mereka yang duduk berhampiran" merujuk kepada para pendita yang sering mendengar ajaran-ajaran rahsia dari para wali atau guru kerohanian ("spiritual teacher"). Walaupun terdapat lebih dua ratus Upanishad, hanya lima belas disebut oleh para sarjana Hindu seperti Sankara (788-820). Lima belas ini serta Maitri adalah dianggap sebagai Upanishad yang utama. Upanishad yang tertua dan terpanjang ialah Brihadaranyaka Upanishad dan Chandogya Upanishad dari abad ke-7 SM.

Upanishad merupakan sebahagian daripada Veda. Semua Upanishad adalah bahasa Sanskrit purba yang digunakan dalam Veda. Upanishad mengandungi ajaran falsafah serta konsep-konsep utama agama Hindu. Beberapa ajaran Upanishad juga kemudiannya dikongsi oleh tradisi lain seperti agama-agama Buddha dan Jain.

Upanishad dianggap sebagai kesusasteraan utama dan paling penting dalam sejarah agama-agama dan kebudayaan India. Teks-teks ini memainkan peranan penting dalam perkembangan idea-idea kerohanian di India purba, menandakan titik peralihan daripada ritualisme Vedik kepada idea-idea dan institusi-institusi baru. Antara semua sastera Vedik, hanya Upanishad yang telah menjadi popular dan masih berkembang ke seluruh dunia. Tidak dapat dinafikan bahawa ajaran Upanishad merupakan intipati agama Hindu.

Amnya, Upanishad juga dikenali sebagai Vedanta. Vedanta bermaksud "bahagian akhir Veda" atau "matlamat akhir Veda". Konsep-konsep Brahman (Realiti Agung) dan Atman (Diri) merupakan tema utama Upanishad. Selain Bhagavadgita dan Brahmasutra, Upanishad-Upanishad utama merupakan tiga asas kepada beberapa fahaman Vedanta.

Menurut suatu pendapat, terdapat lebih 200 Upanishad.

Pada awal kurun ke-19, Upanishad mula diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan sejak itu, ramai cendekiawan dan pemikir Barat telah menunjuk minat untuk mempelajari teks-teks purba ini. Arthur Schopenhauer yang amat tertarik dengan Upanishad memanggilnya sebagai "hasil terunggul pengetahuan manusia". Para Indologi moden telah membandingkan konsep-konsep asas Upanishad dengan falsafah barat.


Developed by StudentB