Kebebasan |
Konsep |
---|
Bidang |
Jenis |
Berhimpun |
Kebebasan beragama ialah prinsip yang menyokong kebebasan individu atau masyarakat untuk mengamalkan agama atau kepercayaan secara tertutup atau terbuka. Kebebasan beragama termasuk kebebasan untuk menukar agama dan tidak mengikut apa-apa agama. Dalam negara yang mengamalkan kebebasan beragama, agama-agama lain bebas diamalkan dan pemerintah tidak menghukum atau menindas pengikut kepercayaan yang lain daripada agama rasmi. Perkara 18 dalam Kovenan Antarabangsa PBB tentang Hak-Hak Sivil dan Politik menyatakan dasar yang menafikan kebebasan seseorang untuk mengamalkan agamanya adalah satu kezaliman rohaniah. Kebebasan beragama merupakan satu konsep perundangan yang berkaitan, tetapi tidak serupa dengan toleransi agama, pemisahan di antara agama dan negara, atau negara sekular (laïcité).
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diterima oleh 50 anggota Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948, dengan lapan berkecuali, di Paris, mentakrifkan kebebasan beragama sebagai: "Setiap orang berhak kepada kebebasan berfikir, berkeyakinan dan beragama; hak-hak ini termasuk kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaan, dan kebebasan, sama ada bersendirian atau dalam masyarakat bersama orang lain dan dalam ruang terbuka atau peribadi, untuk menzahirkan agama atau kepercayaannya dalam pengajaran, perbuatan, penyembahan dan pengamalan agama."